Majlis Belia Labuan (MBL) yang kini diterajui oleh Mohd Dzulfaizal Ab Manan telah mula menampakkan sedikit taringnya apabila baru-baru ini menyuarakan kemahuan badan organisasi ini untuk bergabung di bawah Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai salah sebuah badan NGO yang diiktiraf kedudukannya sepertimana majlis belia negeri-negeri lain.
Mohd Dzulfaizal menyatakan hasrat tersebut semasa berucap dalam majlis Perasmian Konvoi Transformasi Belia yang diadakan sebagai promosi sempena sambutan Hari Belia Negara 2011.
Majlis tersebut telah diadakan pada 27 Mac 2011 di perkarangan Jabatan Belia dan Sukan WP Labuan (JBSWPL) dan telah dihadiri oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sendiri iaitu CEO Sekretariat Hari Belia Negara 2011, Mod Nadzri Yaakob, Timbalan Presiden MBM Haji Mohd Sukor Md Yusoff, Penolong Pengarah JBSWPL, Ronnie Boniface Nugi, Presiden MBL Mohd Dzulfaizal Ab Manan, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas WP Labuan, Rahimah Haji Lamat.
Pada masa kini, sejak tahun 2005 MBL telahpun menyertai gabungan di bawah Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) yang ketika itu Presiden MBL ialah Abdul Samat Ismail salah seorang aktivis belia yang sangat proaktif dan sentiasa menyuntik semangat kepimpinan dalam kalangan belia di sekitar Wilayah Persekutuan Labuan dengan misinya 1 Kampung 1 Persatuan waktu itu.
Warga belia di WP Labuan yang kini mencecah angka seramai 37,100 orang iaitu penduduk yang berusia 15 hingga 40 tahun perlu terus bersepakat dalam satu suara untuk merealisasikan kemahuan mereka sebagai generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan pulau ini yang pastinya semakin mencabar pada masa akan datang.
Bak kata pemimpin terkenal “jika ingin melihat negara pada masa akan datang, maka lihatlah golongan belianya pada hari ini."
Transformasi yang semakin hangat diperkatakan pada hari ini juga tidak dipandang remeh oleh golongan generasi muda di bawah kepimpinan MBL yang semakin peka terhadap pembangunan belia dan MBL juga turut mengatur strategi untuk melibatkan seluruh warga belia di pulau ini agar terus bersama-sama mengubah pemikiran kepada minda kelas pertama dalam semua segi termasuklah sosial, ekonomi dan politik bagi menyokong hasrat kerajaan untuk melihat negara ini diwarisi oleh golongan muda yang kepimpinannya berkualiti.
Dalam aspek sosial, MBL menggariskan agenda memperkasakan persatuan belia adalah merupakan perkara utama, seperti dari segi pendidikan, kerohanian, kebudayaan, sukan dan teknologi maklumat, memandangkan MBL sedar bahawa persatuan belia yang aktif dan berkesan mampu melahirkan lebih ramai pemimpin yang berkualiti di WP Labuan seterusnya mampu menjadi agen perubahan masyarakat.
Pertumbuhan ekonomi juga menjadi perangsang kepada MBL untuk menggalakkan para belia keseluruhannya berjinak-jinak menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan seterusnya dapat menyumbang ke arah pembangunan WP Labuan pada masa akan datang.
Keadaan politik yang begitu stabil juga sentiasa menyedarkan MBL untuk menyediakan aktiviti dan program bagi menanam semangat patriotisme dalam kalangan warga belia di sini, kerana semangat kenegaraan ini dapat mengukuhkan lagi jatidiri warga belia itu sendiri, di samping dapat memelihara suasana dan situasi kestabilan politik negara.
Selain itu, MBL juga memandang jauh ke hadapan bagi melihat aspirasi negara dalam aspek pembangunan modal insan yang berkemahiran dengan memberi sokongan penuh kepada warga belia WP Labuan agar menceburkan diri dalam bidang kemahiran yang ditawarkan oleh Bahagian Pembangunan Kemahiran KBS melalui Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) yang terdapat di seluruh Negara seperti IKBN Kinarut di Sabah.
Generasi belia WP Labuan yang berminat dalam bidang kemahiran ini disarankan merebut peluang tersebut agar dapat mempersiapkan diri dengan kebolehan dalam pelbagai bidang yang diperlukan oleh negara pada masa akan datang, apatah lagi WP Labuan sedang menuju Labuan Maju 2015 dan visi merealisasikan visi negara 2020.
Selaras dengan konsep 1 Belia 1 Malaysia, MBL turut merancang pelbagai program dan aktiviti dengan melibatkan semua persatuan belia di WP Labuan yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Junior Chamber International Labuan (JCIL) dan Persatuan Belia Kampung Sungai Keling.
Selain daripada 20 buah persatuan belia yang bergabung di bawah MBL, kedua-dua buah persatuan belia tadi turut tidak ketinggalan dalam setiap program dan ativiti yang dianjurkan oleh MBL agar dapat membantu merelealisasikan transformasi belia.
MBL kini dianggotai oleh 21 orang exco termasuk jawatankuasa tertinggi selain Presiden iaitu Timbalan Presiden, Basran Yunus, Naib Presiden I, Jumat Talip, Naib Presiden II, Jainudi Lamat, Setiausaha Kehormat, Puasa Jampal, Bendahari Mohd Izuandi Jaludin, manakala Penolong Setiausaha Kehormat MBL Zunainah Alias dan Setiausaha Kerja Rokiah Sarudin.
MBL umpama mata dan telinga bagi agensi kerajaan khususnya Jabatan Belia dan Sukan WP Labuan dan umumnya agensi lain, yang berperanan membawa transformasi belia ini bukan sahaja kepada minda kelas pertama malah juga bertanggungjawab menjadikan pulau ini diwarisi oleh generasi muda yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek dalam usaha ke arah pembangunan modal insan yang mempunyai keteguhan jatidiri agar dapat meningkatkan lagi martabat WP Labuan. MBL penggerak transformasi.