Sejarah
Pengwujudan IKBN Kinarut ini telah membawa perubahan besar kepada pendidikan kemahiran dalam kalangan generasi muda khususnya di Negeri Sabah yang mencari alternatif bagi mendapatkan peluang sijil kemahiran yang diiktiraf oleh kerajaan tanpa yuran kemasukan.
Sistem pembelajaran
Sistem pembelajaran di IKBN Kinarut adalah meliputi keseimbangan dua aspek iaitu latihan kemahiran dan bina insan. Ia disampaikan kepada semua pelajar dengan penyusunan jadual yang lebih teliti agar penerimaan pelajar terhadap kedua-dua aspek ini lebih berkesan.
Latihan kemahiran meliputi kuliah teori (30%) dan latihan praktikal ‘hands-on’ di bengkel (70%). Terdapat empat pengkhususan utama dalam jurusan yang ditawarkan di IKBN Kinarut iaitu Sekolah Awam, Sekolah Elektronik, Sekolah Elektrik dan Sekolah Penyejukbekuan dan Penyaman Udara.
Jurusan dan pengiktirafan sijil
Jurusan yang ditawarkan melalui Sekolah Awam ialah jurusan Pelukis Pelan Senibina (PPS) dan Juru Bina Bangunan (JBB). Sekolah Elektronik pula pelajar boleh memilih untuk mengikuti kursus dalam jurusan Elektronik Industri (EI) dan Audio Visual (AV). Manakala, Sekolah Elektrik menawarkan kursus dalam jurusan Penjaga Jentera Elektrik (PJE) dan Pendawaian Elektrik (PE). Sekolah Penyejukbekun dan Penyaman Udara pula menawarkan jurusan dalam dua pilihan iaitu Domestik (PPUD) atau Komersil (PPUK).
Sijil bagi pelajar yang mengikuti kursus dalam Sekolah Elektrik adalah ditauliahkan daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) dan bagi pelajar yang mengikuti kursus jurusan lain pula akan layak mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) serta diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Pembinaan modal insan
Selain latihan kemahiran, IKBN Kinarut turut menawarkan pendidikan Bina Insan yang dilaksanakan sama ada melalui aktiviti mahupun kelas yang meliputi aspek keagamaan, kawad, kepimpinan, keusahawanan, ketatanegaraan, kemasyasarakatan dan kesukanan.
Selaras dengan piagam pelanggan penubuhan institusi ini, IKBN Kinarut menyediakan program latihan kemahiran dan pembangunan modal insan dengan baik mungkin ke arah melahirkan tenaga kerja mahir mahupun separuh mahir yang boleh berdikari serta bermotivasi, berdayasaing, berdisiplin dan mampu melaksanakan wawasan negara.
Nasihat kerjaya oleh pengajar
Selain itu, pihak IKBN sendiri akan berusaha menentukan kejayaan pelajar-pelajar dalam peperiksaan persijilan bagi satu jangkamasa yang ditetapkan dengan tahap pencapaian 95% ke atas di samping menyediakan khidmat sokongan sepanjang tahun bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang selesa dan seterusnya meningkatkan prestasi latihan.
Tenaga pengajar juga sentiasa memberi khidmat nasihat dan perundingan latihan kemahiran terutama kepada Industri kecil dan sederhana di sampung mewujudkan perhubungan Industri untuk memberi panduan dan pilihan kerjaya yang sesuai dengan keperluan Industri, pendedahan teknologi terkini, pemindahan teknologi dan permintaan tenaga mahir.
Pengambilan melalui ‘upu online’
Bermula pengambilan pada Julai 2011, permohonan pelajar ke IKBN adalah menggunakan sistem talian internet iaitu melalui ‘upu online’ di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi. Usaha ini menunjukkan bahawa kerajaan serius dalam membawa status pendidikan latihan kemahiran ini ke tahap yang lebih diiktiraf selaras dengan kualiti pendidikan negara yang semakin meningkat.
Pentadbiran dan Majlis perwakilan pelajar
Kini IKBN Kinarut diterajui oleh Pengarah, Rosdi Sokri, Penolong Pengarah Bahagian Kemahiran, Muhammad Hamdan Abdullah Hazam, Penolong Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Azmi Ibrahim dan seramai 77 orang pegawai serta kakitangan sedang berhidmat di institusi ini.
Selain daripada tenaga pengajar dan kakitangan yang bertauliah dalam menjamin kecemerlangan institusi ini, IKBN Kinarut juga mempunyai pertubuhan organisasi wakil pelajar yang sangat komited dan mempunyai bakat dalam kepimpinan iaitu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang diketuai oleh Presiden, Mohammad Haziq Hamdan, Timbalan Presiden I, Mohd Noor Azmil Sidek, Timbalan Presiden II, Nurul Hidayah Asang, Setiausaha, Siti Roziana Nawir dan Bendahari, Sheryl Aida.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJK) MPP IKBN Kinarut sering memberikan sokongan dan kerjasama yang baik kepada pihak pentadbiran institut bukan sahaja dalam membantu kawalan disiplin terhadap pelajar, malah turut menjayakan setiap program dan aktiviti yang diadakan oleh para pegawai mengikut unit yang ada di IKBN Kinarut seperti Unit Pengurusan Pelajar, Unit Pembangunan Insan, Unit Kawad dan Disiplin serta Unit Sukan.
Dari belia untuk belia
Institusi pendidikan kemahiran ini diharap dapat memberikan ruang dan peluang kepada golongan belia di seluruh Sabah yang berminat, berbakat dan ingin berkecimpung dalam pelbagai bidang kemahiran umumnya dan dalam bidang yang ditawarkan di institusi ini khususnya.
Sijil, kemahiran dan pengalaman yang diperolehi di IKBN Kinarut ini pasti akan dapat membantu para belia Sabah untuk bersaing dan menghadapi pelbagai cabaran golongan muda di alam kerjaya.
Diharapkan para belia dapat menggunakan sepenuhnya kemudahan dan peluang pendidikan kemahiran yang disediakan oleh KBS ini agar keperluan negara dalam bidang-bidang tertentu dapat dipenuhi di samping dapat meningkatkan tahap pendapatan keluarga masyarakat khususnya para belia tempatan hari ini.
Keseimbangan antara kemahiran dan pembangunan insan yang ditawarkan di IKBN Kinarut ini diharap dapat menjadi nilai tambah kepada para belia agar mampu meningkatkan kualiti hidup mereka sebagai generasi pewaris kepimpinan negara pada masa hadapan.
IKBN Profesional Terunggul.
1 Belia 1 Malaysia.