Sunday, May 1, 2011

MPP IKBN Kinarut dapat suntikan semangat


KINARUT, 20 April – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kinarut pagi ini telah mendapat suntikan semangat baru apabila mengadakan pertemuan dengan Penolong Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP), Azmi Ibrahim.


“ Memandangkan MPP ini merupakan contoh dan wakil seluruh pelajar IKBN Kinarut, maka barisan pemimpin pelajar ini perlu mementingkan kepatuhan terhadap peraturan tetap pelajar yang telah digariskan oleh institusi ini, , ” tegas beliau.


Dalam pertemuan itu, beliau turut memberikan kata-kata semangat kepada MPP agar terus dapat bekerjasama dan memberikan komitmen sepenuhnya dalam menjamin kecemerlangan organisasi ini.


“ MPP adalah barisan pemimpin yang mendukung cita-cita pelajar untuk berjaya bukan sahaja dari segi akademik malah juga dari segi pembinaan jati diri sebagai generasi pelapis kepimpinan masa hadapan,” tambahnya.


Antara program yang dirancang bagi mengukuhkan organisasi MPP ini adalah Bengkel Pengurusan Organisasi yang menitikberatkan kaedah pengukuhan persatuan ini sebagai sebuah organisasi yang dianggotai oleh barisan kepimpinan wakil pelajar IKBN Kinarut.


Selain itu, beliau juga menyeru kepada semua ahli MPP agar dapat menjalankan tugas dan peranan masing-masing dengan penuh rasa tanggungjawab dalam memperjuangkan hak sebagai pelajar IKBN Kinarut bagi menjamin kecemerlangan yang berterusan institusi ini.


Seramai 30 orang ahli jawatankuasa tertinggi termasuk exco dan ahli MPP hadir dalam perjumpaan pagi tadi dan turut hadir sama ialah Ketua Unit Pengurusan Pelajar, Dayangku Rahimah Pg. Hassan, Pembantu Belia dan Sukan Siti Bakhriah Abd Muhammad dan Presiden MPP, Mohammad Haziq Hamdan.

No comments:

Post a Comment