Tuesday, December 27, 2011

27 Disember 2011

Salam...
Wah... sudah Disember ni... rasa macam baru saja menempuh Januari 2011, pejam celik rupanya akan menempuh Januari 2012...

Banyak yang dipelajari dalam tahun 2011 ni, cuma sekarang mau buka hati, jiwa dan minda untuk hadapi 2012 pula, yang pastinya lebih mencabar dari tahun lepas..

Apa yang pasti, bermula Januari nanti, satu perkara baru lagi akan dipelajari, itu semua rezeki.. Betul apa yang diberitahu oleh "sifu" dulu, kalau sabar, dan bekerja dengan ikhlas serta percaya pada rezeki Allah, pasti Allah akan izinkan kita mencapai apa yang kita kehendaki.. Alhamdulillah, syukur pada pemberian Allah S.W.T...

Ok lah, nanti kita bertemu lagi pada tahun baru.... Bye
Wassalam....

Sunday, May 1, 2011

IKBN KINARUT SEDIA PELUANG KEMAHIRAN UNTUK GENERASI MUDA


Sejarah

Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kinarut ditubuhkan melalui kelolaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mula beroperasi pada 17 Januari 2003 serta dibina dengan keluasan tanah 30 ekar yang terletak 24 kilometer dari bandar raya Kota Kinabalu.

Pengwujudan IKBN Kinarut ini telah membawa perubahan besar kepada pendidikan kemahiran dalam kalangan generasi muda khususnya di Negeri Sabah yang mencari alternatif bagi mendapatkan peluang sijil kemahiran yang diiktiraf oleh kerajaan tanpa yuran kemasukan.

Sistem pembelajaran

Sistem pembelajaran di IKBN Kinarut adalah meliputi keseimbangan dua aspek iaitu latihan kemahiran dan bina insan. Ia disampaikan kepada semua pelajar dengan penyusunan jadual yang lebih teliti agar penerimaan pelajar terhadap kedua-dua aspek ini lebih berkesan.

Latihan kemahiran meliputi kuliah teori (30%) dan latihan praktikal ‘hands-on’ di bengkel (70%). Terdapat empat pengkhususan utama dalam jurusan yang ditawarkan di IKBN Kinarut iaitu Sekolah Awam, Sekolah Elektronik, Sekolah Elektrik dan Sekolah Penyejukbekuan dan Penyaman Udara.

Jurusan dan pengiktirafan sijil

Jurusan yang ditawarkan melalui Sekolah Awam ialah jurusan Pelukis Pelan Senibina (PPS) dan Juru Bina Bangunan (JBB). Sekolah Elektronik pula pelajar boleh memilih untuk mengikuti kursus dalam jurusan Elektronik Industri (EI) dan Audio Visual (AV). Manakala, Sekolah Elektrik menawarkan kursus dalam jurusan Penjaga Jentera Elektrik (PJE) dan Pendawaian Elektrik (PE). Sekolah Penyejukbekun dan Penyaman Udara pula menawarkan jurusan dalam dua pilihan iaitu Domestik (PPUD) atau Komersil (PPUK).

Sijil bagi pelajar yang mengikuti kursus dalam Sekolah Elektrik adalah ditauliahkan daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) dan bagi pelajar yang mengikuti kursus jurusan lain pula akan layak mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) serta diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Pembinaan modal insan

Selain latihan kemahiran, IKBN Kinarut turut menawarkan pendidikan Bina Insan yang dilaksanakan sama ada melalui aktiviti mahupun kelas yang meliputi aspek keagamaan, kawad, kepimpinan, keusahawanan, ketatanegaraan, kemasyasarakatan dan kesukanan.

Selaras dengan piagam pelanggan penubuhan institusi ini, IKBN Kinarut menyediakan program latihan kemahiran dan pembangunan modal insan dengan baik mungkin ke arah melahirkan tenaga kerja mahir mahupun separuh mahir yang boleh berdikari serta bermotivasi, berdayasaing, berdisiplin dan mampu melaksanakan wawasan negara.

Nasihat kerjaya oleh pengajar

Selain itu, pihak IKBN sendiri akan berusaha menentukan kejayaan pelajar-pelajar dalam peperiksaan persijilan bagi satu jangkamasa yang ditetapkan dengan tahap pencapaian 95% ke atas di samping menyediakan khidmat sokongan sepanjang tahun bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang selesa dan seterusnya meningkatkan prestasi latihan.

Tenaga pengajar juga sentiasa memberi khidmat nasihat dan perundingan latihan kemahiran terutama kepada Industri kecil dan sederhana di sampung mewujudkan perhubungan Industri untuk memberi panduan dan pilihan kerjaya yang sesuai dengan keperluan Industri, pendedahan teknologi terkini, pemindahan teknologi dan permintaan tenaga mahir.

Pengambilan melalui ‘upu online’

Bermula pengambilan pada Julai 2011, permohonan pelajar ke IKBN adalah menggunakan sistem talian internet iaitu melalui ‘upu online’ di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi. Usaha ini menunjukkan bahawa kerajaan serius dalam membawa status pendidikan latihan kemahiran ini ke tahap yang lebih diiktiraf selaras dengan kualiti pendidikan negara yang semakin meningkat.

Pentadbiran dan Majlis perwakilan pelajar

Kini IKBN Kinarut diterajui oleh Pengarah, Rosdi Sokri, Penolong Pengarah Bahagian Kemahiran, Muhammad Hamdan Abdullah Hazam, Penolong Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Azmi Ibrahim dan seramai 77 orang pegawai serta kakitangan sedang berhidmat di institusi ini.

Selain daripada tenaga pengajar dan kakitangan yang bertauliah dalam menjamin kecemerlangan institusi ini, IKBN Kinarut juga mempunyai pertubuhan organisasi wakil pelajar yang sangat komited dan mempunyai bakat dalam kepimpinan iaitu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang diketuai oleh Presiden, Mohammad Haziq Hamdan, Timbalan Presiden I, Mohd Noor Azmil Sidek, Timbalan Presiden II, Nurul Hidayah Asang, Setiausaha, Siti Roziana Nawir dan Bendahari, Sheryl Aida.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJK) MPP IKBN Kinarut sering memberikan sokongan dan kerjasama yang baik kepada pihak pentadbiran institut bukan sahaja dalam membantu kawalan disiplin terhadap pelajar, malah turut menjayakan setiap program dan aktiviti yang diadakan oleh para pegawai mengikut unit yang ada di IKBN Kinarut seperti Unit Pengurusan Pelajar, Unit Pembangunan Insan, Unit Kawad dan Disiplin serta Unit Sukan.

Dari belia untuk belia

Institusi pendidikan kemahiran ini diharap dapat memberikan ruang dan peluang kepada golongan belia di seluruh Sabah yang berminat, berbakat dan ingin berkecimpung dalam pelbagai bidang kemahiran umumnya dan dalam bidang yang ditawarkan di institusi ini khususnya.

Sijil, kemahiran dan pengalaman yang diperolehi di IKBN Kinarut ini pasti akan dapat membantu para belia Sabah untuk bersaing dan menghadapi pelbagai cabaran golongan muda di alam kerjaya.

Diharapkan para belia dapat menggunakan sepenuhnya kemudahan dan peluang pendidikan kemahiran yang disediakan oleh KBS ini agar keperluan negara dalam bidang-bidang tertentu dapat dipenuhi di samping dapat meningkatkan tahap pendapatan keluarga masyarakat khususnya para belia tempatan hari ini.

Keseimbangan antara kemahiran dan pembangunan insan yang ditawarkan di IKBN Kinarut ini diharap dapat menjadi nilai tambah kepada para belia agar mampu meningkatkan kualiti hidup mereka sebagai generasi pewaris kepimpinan negara pada masa hadapan.

IKBN Profesional Terunggul.

1 Belia 1 Malaysia.

MPP IKBN Kinarut dapat suntikan semangat


KINARUT, 20 April – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kinarut pagi ini telah mendapat suntikan semangat baru apabila mengadakan pertemuan dengan Penolong Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP), Azmi Ibrahim.


“ Memandangkan MPP ini merupakan contoh dan wakil seluruh pelajar IKBN Kinarut, maka barisan pemimpin pelajar ini perlu mementingkan kepatuhan terhadap peraturan tetap pelajar yang telah digariskan oleh institusi ini, , ” tegas beliau.


Dalam pertemuan itu, beliau turut memberikan kata-kata semangat kepada MPP agar terus dapat bekerjasama dan memberikan komitmen sepenuhnya dalam menjamin kecemerlangan organisasi ini.


“ MPP adalah barisan pemimpin yang mendukung cita-cita pelajar untuk berjaya bukan sahaja dari segi akademik malah juga dari segi pembinaan jati diri sebagai generasi pelapis kepimpinan masa hadapan,” tambahnya.


Antara program yang dirancang bagi mengukuhkan organisasi MPP ini adalah Bengkel Pengurusan Organisasi yang menitikberatkan kaedah pengukuhan persatuan ini sebagai sebuah organisasi yang dianggotai oleh barisan kepimpinan wakil pelajar IKBN Kinarut.


Selain itu, beliau juga menyeru kepada semua ahli MPP agar dapat menjalankan tugas dan peranan masing-masing dengan penuh rasa tanggungjawab dalam memperjuangkan hak sebagai pelajar IKBN Kinarut bagi menjamin kecemerlangan yang berterusan institusi ini.


Seramai 30 orang ahli jawatankuasa tertinggi termasuk exco dan ahli MPP hadir dalam perjumpaan pagi tadi dan turut hadir sama ialah Ketua Unit Pengurusan Pelajar, Dayangku Rahimah Pg. Hassan, Pembantu Belia dan Sukan Siti Bakhriah Abd Muhammad dan Presiden MPP, Mohammad Haziq Hamdan.

Puteri Labuan hadir majlis penjelasan fatwa


LABUAN – Puteri Umno Bahagian Labuan telah menghadiri program Penjelasan Fatwa dan Dialog Bersama Ketua Sektor dan NGO Islam Wilayah Persekutuan Labuan yang dianjurkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama agensi kerajaan di Wilayah Persekutuan Labuan seperti Majlis Agama Islam (MAIWPL), Jabatan Agama Islam (JAIS) dan Mahkamah Syariah serta beberapa badan NGO islam lain termasuklah Majlis Belia Labuan (MBL), Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Persatuan Cina Islam Malaysia (MACM), Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM), Yayasan Amal, Persatuan Bekas Tentera dan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA).


Antara objektif program ini ialah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan terutamanya berkaitan dengan kemaslahatan umum kepada pemegang tauliah mengajar agama islam di Wilayah Persekutuan Labuan di samping membantu memperjelaskan permasalahan yang timbul dalam kalangan masyarakat terutamanya perkara yang melibatkan permasalahan fardhu ain dan fardhu kifayah.


Ketua Puteri Umno Bahagian Labuan, Rahimah Lamat ketika dihubungi petang tadi berkata program ini sememangnya membawa banyak kebaikan dan faedah kepada ahli puteri yang hadir kerana melalui program ini mereka dapat menjelaskan persoalan dan isu yang sering ditimbulkan apabila bertemu masyarakat, khususnya perkara yang berkaitan dengan agama.


“ Sekurang-kurangnya Puteri Labuan yang hadir akan dapat memahami penjelasan berkenaan pegangan dan fahaman sebenar yang dibawa oleh ‘ESQ Leadership Training’ dan diharap mereka dapat menyampaikan pengetahuan yang diperolehi daripada program ini kepada ahli Puteri Umno yang lain agar terpelihara akidah dan akhlak sebenar seseorang muslim, ” katanya.


Puteri Umno yang hadir adalah terdiri daripada ahli jawatankuasa Puteri bahagian iaitu Zuraimah Mohd Tahir, Nur Erney Jamil, Alinasiah Ismail, Norhayati Lamat dan Noraini Lamat.


Selain Puteri Umno, seramai 220 orang peserta turut hadir dalam program tersebut yang terdiri daripada agensi kerajaan, swasta, persatuan belia, Wanita Umno dan NGO islam sekitar Wilayah Persekutuan Labuan.


Program ini telah berlangsung di Dewan Syura Masjid Jamek An-Nur Wilayah Persekutuan Labuan hari ini dan dirasmikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, YBhg Datuk Wan Zahidi Wan Teh serta teks ucapan beliau telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Kanan JAIS Wilayah Persekutuan Labuan, Ybhg Haji Ghazali Saad.


Hadir sama ialah Ketua Penolong Mufti Wilayah Persekutuan Labuan, YBhg Sahibul Fadhilah Haji Ahmad Ismail, Timbalan Yang Dipertua USIA Bahagian Labuan, Haji Abdul Rahman Lamudin dan Naib Ketua Wanita Umno Bahagian Labuan, Rokiah Ibrahim.

LATIHAN PEGAWAI BELIA DAN SUKAN (PENGURUSAN SUKAN UNTUK SEMUA)

LABUAN – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Cawangan Organisasi dan Penggalakkan Sukan, Bahagian Pembangunan Sukan mengambil inisiatif bagi meningkatkan lagi pengetahuan serta keupayaan pegawai belia dan sukan dengan menganjurkan kursus pengurusan sukan untuk semua.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Labuan (JBSWPL), Mohd Faizul Helmee Mohd Sab menjelaskan bahawa program ini merupakan nilai tambah kepada pegawai belia dan sukan negeri serta daerah agar berkeyakinan tinggi dan berkebolehan mengurus aktiviti sukan di bawah seliaan mereka.


“ Kursus ini akan dapat meningkatkan imej organisasi masing-masing dan dilihat lebih profesional terutamanya apabila berkomunikasi dengan kumpulan sasar di peringkat akar umbi, ” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam perasmian penutup kursus tersebut pagi tadi.

Program ini dianjurkan dengan kerjasama Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang bertanggungjawab dalam penyediaan modul serta menjadi tenaga penceramah dalam beberapa pengisian kursus ini.


Antara modul yang disampaikan ialah pengurusan sukan untuk semua, komunikasi perhubungan awam, perencanaan program sukan untuk semua, pengurusan fasiliti sukan, perancangan sumber dan pengurusan maklumat dalam penganjuran sukan selain pembentangan kumpulan yang telah dibahagikan.


Penceramah jemputan program ini ialah Mohd Sadek Mustaffa, Borhan Yusof, Khairul Zaman Hamin dan Siti Aishah Wahab, yang mana kesemuanya adalah pensyarah UiTM.


Wakil peserta, Noorman Ramlan berkata dalam ucapannya berharap ilmu pengetahuan yang disampaikan melalui program ini akan dapat diaplikasikan dalam tugas seharian peserta dan seterusnya diamalkan dalam menjamin kualiti tugas sebagai pegawai belia dan sukan di tempat masing-masing.


Seramai 32 orang peserta yang terdiri daripada pegawai belia dan sukan Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Labuan, Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak dan Institut Kemahiran Belia Negara Kinarut telah menyertai kursus yang berlangsung selama tiga hari ini iaitu dari 20 hingga 22 April 2011, di Manikar Beach Resort Wilayah Persekutuan Labuan.


Hadir sama dalam majlis perasmian tersebut ialah Penolong Pengarah Bahagian Belia JBSWPL, Ronnie Boniface Nugi, Penolong Pengarah Bahagian Sukan JBSWPL, Mohd Nazr Mohd Khairudin dan Pegawai Cawangan Organisasi dan Penggalakkan Sukan KBS, Mohd Syafiq Mohd Khan.

Gotong-royong perdana eratkan hubungan warga IKBN Kinarut

KINARUT, 19 April – Warga Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kinarut mengadakan gotong-royong perdana sepanjang hari ini bagi menjamin kualiti kebersihan persekitaran dan setiap sudut di IKBN Kinarut berada dalam keadaan yang sungguh memuaskan.

Pengarah IKBN Kinarut, Rosdi Sokri berkata aspek kebersihan, kekemasan dan keselesaan persekitaran tempat kerja perlulah dititikberatkan bagi menjamin kualiti kerja yang lebih cemerlang, apatah lagi institusi ini merupakan pusat warga belia mendapatkan latihan kemahiran dan pendidikan pembangunan modal insan.

Beliau menjelaskan lagi gotong-royong perdana peringkat IKBN Kinarut ini merupakan salah satu cara untuk mengeratkan silaturahim dan hubungan muhibah antara kakitangan dengan pelajar serta semua warga institut ini.

Penolong Pengarah IKBN Kinarut, Muhammad Hamdan Abdullah Hazam memberitahu bahawa aktiviti ini akan dijadikan program tahunan agar suasana persekitaran dan ruang belajar serta kerja di institusi ini lebih selesa, selamat dan bersih.

Antara bengkel yang turut memberikan kerjasama dalam gotong-royong perdana ini ialah jurusan Juru Bina Bangunan, Pelukis Pelan Senibina, Elektronik Industri, Audio Visual, Penyejubekuan Penyaman Udara Domestik, Penyejubekuan Penyaman Udara Komersil, Penjaga Jentera Elektrik dan Pendawaian Elektrik serta selain bahagian kemahiran, turut terlibat ialah bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP), pentadbiran dan asrama.

“ Gotong-royong ini juga merupakan persediaan bagi menghadapi penilaian pertandingan IKBN Terbaik SeMalaysia yang bermula sepanjang April ini,” tambah Muhammad Hamdan semasa menyampaikan taklimat pada awal pagi semalam.

Selain bengkel, lokasi utama yang terlibat dalam gotong-royong perdana ini termasuklah asrama, pejabat pentadbiran dan HEP, Sural Al-Hidayah, Dewan Limau-Limauan dan dewan makan.

Penolong Pengarah HEP, Azmi Ibrahim berkata persekitaran dan suasana bersih yang diwujudkan impak daripada program ini sudah pasti akan dapat menjamin kualiti bekerja dalam kalangan kakitangan dan penerimaan pembelajaran yang lebih kondusif.

Selain daripada pegawai-pegawai kanan institut ini, seramai 510 orang kakitangan dan pelajar turut serta dalam program gotong-royong perdana peringkat IKBN Kinarut yang berlangsung semalam.

Puteri Labuan Selesai Bersidang

LABUAN, 18 April – Puteri UMNO cawangan-cawangan dalam Bahagian Labuan telah selesai menjalankan tanggungjawab masing-masing apabila berjaya mengadakan mesyuarat tahunan yang telah tamat kemarin.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Labuan, Rahimah Lamat berkata, “persidangan Puteri cawangan-cawangan pada tahun ini telah berlangsung mengikut peraturan yang telah ditetapkan tanpa berlaku sebarang insiden yang tidak diingini,”.


Sebanyak 20 buah daripada 26 cawangan kesemuanya telah berjaya mengadakan mesyuarat tahunan masing-masing iaitu Puteri UMNO cawangan Pantai, Sungai Lada, Ranca-Ranca, Bukit Kallam, Patau-Patau Dua, Lajau, Sungai Buton Sembilang, Layang-Layangan, Belukut, Tanjung Aru, Lubuk Temiang, Bukit Kuda, Sungai Bangat, Bebuloh, Pohon Batu, Sungai Miri Pagar, Gersik Sagoking, Ranca-Ranca Laut, Batu Manikar dan Sungai Bedaun.


Rahimah ketika dihubungi pagi tadi menjelaskan bahawa Puteri UMNO Bahagian Labuan akan bermesyuarat dan mengenalpasti sebab Puteri cawangan-cawangan yang gagal bersidang pada tahun ini dan seterusnya mengambil inisiatif untuk memperbaiki kelemahan yang ada agar tidak berulang pada masa-masa akan datang.


Beliau turut menegaskan bahawa Puteri UMNO Bahagian Labuan akan menggerakkan jentera keahlian baru bagi persediaan untuk memastikan keahlian puteri yang berpindah kepada Wanita UMNO kerana faktor umur akan dapat diganti bilangannya.


Kelayakan wanita muda yang boleh menyertai Puteri UMNO adalah berusia 18 hingga 35 tahun dan yang melebihi umur tersebut keahliannya akan secara langsung menyertai Wanita UMNO.


“Selain itu, dalam persidangan kali ini, kami juga menyediakan khidmat pendaftaran pemilih bagi mereka yang berusia 21 tahun ke atas dan bukan sahaja ahli Puteri UMNO, malah masyarakat umum yang berada di cawangan-cawangan,” katanya lagi.


Orang ramai yang ingin mendaftar sebagai ahli Puteri UMNO dan belum mendaftar sebagai pemilih bolehlah menghubungi Setiausaha Kerja Puteri UMNO di pejabat UMNO Bahagian Labuan.

Bengkel PPS juarai pertandingan pejabat terbaik

KINARUT, 15 April – Jurusan Pelukis Pelan Senibina (PPS) muncul sebagai juara, naib johan jurusan Jurubina Bangunan dan ketiga jurusan Penyejukbekuan Penyaman Udara Domestik dalam pertandingan pejabat terbaik anjuran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kinarut bagi kategori bengkel.

Kategori lain yang dipertandingkan ialah kategori bahagian, asrama dan ruang kerja yang mana kesemua aspek ini dinilai mengikut sistem pemarkahan yang dipertandingkan di peringkat kementerian iaitu sebagai persediaan dalam menyertai pertandingan IKBN Terbaik SeMalaysia.

Bagi kategori bahagian, johan dimenangi oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar, naib johan Bahagian Pentadbiran dan ketiga Bahagian Kemahiran, manakala johan bagi kategori asrama pula dimenangi oleh asrama wanita serta kategori ruang kerja terbaik pula telah dimenangi oleh Safrah Tuan iaitu Pembantu Perpustakaan IKBN Kinarut.

“Semua kakitangan perlu menunjukkan komitmen yang baik dalam menjalakan tugas dan tanggungjawab sebagai penjawat awam kerajaan umumnya dan IKBN Kinarut khususnya bagi menjamin kualiti perkhidmatan yang cemerlang,”.

Pengarah IKBN Kinarut, Rosdi Sokri mengatakan demikian ketika berucap dalam majlis Perhimpunan Bulanan Pengarah bersama kakitangan tengahari tadi di Bilik Inovasi IKBN.

Beliau turut mengingatkan bahawa IKBN Kinarut perlu bersedia dan mengekalkan kecemerlangan yang ada dalam persediaan menghadapi pertandingan peringkat kementerian yang akan mula dinilai pada 20 April ini.

Selain itu, turut diadakan sesi taklimat bagi Skim Perkasa Rakyat Mahir atau STEP (Skills To Empower People) yang telah disampaikan oleh Penolong Pengarah IKBN Kinarut, Muhammad Hamdan Abdullah Hazam.

Seramai 78 orang pegawai dan kakitangan yang hadir dalam majlis tersebut dan dua orang pegawai yang turut diraikan kerana akan berpindah ke jabatan lain iaitu Penolong Pengarah Bahagian Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah, Sempini Langiton dan Pembantu Hal Ehwal Islam Zahrol Hasfaizi Ismail yang akan bertugas di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan.

Hadir sama ialah Penolong Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Azmi Ibrahim, Ketua Sekolah Awam, Grenson Philip Angkok, Ketua Sekolah Elektronik Yogeswaran Saleapan, Pegawai Tadbir Kanan, Saldi Maruji dan Ketua Cawangan Hal Ehwal Pelajar Sauudi Suchang.

Saturday, April 16, 2011

Kursus separuh masa di IKBN Kinarut


KINARUT, 14 April – Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kinarut melalui Sekolah Elektrik mengambil inisiatif menawarkan peluang kepada orang ramai yang berminat menyertai program separuh masa yang ditauliahkan oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia.

“ Kelayakan menyertai program ini sungguh mudah iaitu sekurang-kurangnya tamat tingkatan lima sekolah bantuan penuh kerajaan, berumur 18 tahun ke atas dan boleh bertutur serta menulis dalam Bahasa Melayu, ” jelas Ketua Sekolah Elektrik IKBN Kinarut, Mohd Riedzlan Sutrisno.

Kursus yang ditawarkan terbahagi kepada dua tempoh iaitu intensif jangka pendek yang mana hanya diadakan pada hari Sabtu dan Ahad sahaja, manakala yang kedua ialah program separuh masa iaitu dalam tempoh 3 – 6 bulan.

Antara kursus intensif jangka pendek ialah Talian Aerial Voltan Rendah, kawalan Motor Elektrik, papan Suis Utama Voltan Rendah, Amali Pendawaian Elektrik Satu Fasa, Amalai Pendawaian Elektrik Tiga Fasa, Asas Juruelektrik dan Pendawaian Elektrik, ‘Elektrical Basis Instruments’, Penyegerakkan Janakuasa dan Janakuasa Tunggu Sedia dan ‘Programmable Logic Controller’ (PLC).

Manakala program separuh masa ialah Kekompetenan Penjaga Jentera Elektrik ‘Chargeman’ dan Kekompetenan Pendawai Elektrik ‘Wireman’.

Mohd yang ditemui di pejabatnya pagi tadi menjelaskan bahawa kaedah pembelajaran bagi program separuh masa terbahagi kepada dua iaitu kerja kursus yang meliputi kelas teori, amali, tugasan dan ujian, serta peperiksaan akhir pula meliputi kertas teori (objetif dan subjektif, amali dan ujian lisan.

Beliau memberitahu bilangan maksimum setiap kursus seramai 15 orang dan yuran yang dikenakan adalah berbeza mengikut jenis kursus serta program ini akan bermula pada Julai 2011. Orang ramai yang berminat bolehlah datang terus ke IKBN Kinarut untuk keterangan lanjut.

Bengkel PPS juarai pertandingan pejabat terbaik


KINARUT, 15 April – Jurusan Pelukis Pelan Senibina (PPS) muncul sebagai juara, naib johan jurusan Jurubina Bangunan dan ketiga jurusan Penyejukbekuan Penyaman Udara Domestik dalam pertandingan pejabat terbaik anjuran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kinarut bagi kategori bengkel.

Kategori lain yang dipertandingkan ialah kategori bahagian, asrama dan ruang kerja yang mana kesemua aspek ini dinilai mengikut sistem pemarkahan yang dipertandingkan di peringkat kementerian iaitu sebagai persediaan dalam menyertai pertandingan IKBN Terbaik SeMalaysia.

Bagi kategori bahagian, johan dimenangi oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar, naib johan Bahagian Pentadbiran dan ketiga Bahagian Kemahiran, manakala johan bagi kategori asrama pula dimenangi oleh asrama wanita serta kategori ruang kerja terbaik pula telah dimenangi oleh Safrah Tuan iaitu Pembantu Perpustakaan IKBN Kinarut.

“Semua kakitangan perlu menunjukkan komitmen yang baik dalam menjalakan tugas dan tanggungjawab sebagai penjawat awam kerajaan umumnya dan IKBN Kinarut khususnya bagi menjamin kualiti perkhidmatan yang cemerlang,”.

Pengarah IKBN Kinarut, Rosdi Sokri mengatakan demikian ketika berucap dalam majlis Perhimpunan Bulanan Pengarah bersama kakitangan tengahari tadi di Bilik Inovasi IKBN.

Beliau turut mengingatkan bahawa IKBN Kinarut perlu bersedia dan mengekalkan kecemerlangan yang ada dalam persediaan menghadapi pertandingan peringkat kementerian yang akan mula dinilai pada 20 April ini.

Selain itu, turut diadakan sesi taklimat bagi Skim Perkasa Rakyat Mahir atau STEP (Skills To Empower People) yang telah disampaikan oleh Penolong Pengarah IKBN Kinarut, Muhammad Hamdan Abdullah Hazam.

Seramai 78 orang pegawai dan kakitangan yang hadir dalam majlis tersebut dan dua orang pegawai yang turut diraikan kerana akan berpindah ke jabatan lain iaitu Penolong Pengarah Bahagian Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah, Sempini Langiton dan Pembantu Hal Ehwal Islam Zahrol Hasfaizi Ismail yang akan bertugas di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan.

Hadir sama ialah Penolong Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Azmi Ibrahim, Ketua Sekolah Awam, Grenson Philip Angkok, Ketua Sekolah Elektronik Yogeswaran Saleapan, Pegawai Tadbir Kanan, Saldi Maruji dan Ketua Cawangan Hal Ehwal Pelajar Sauudi Suchang.

Wednesday, April 13, 2011

IKBN Kinarut perkenal Skim Perkasa Rakyat Mahir

KINARUT, 12 April – Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) mengambil langkah dalam mengoptimakan penggunakan kemudahan dan peralatan latihan bagi 15 buah IKBN seluruh negara dengan memberi manfaat kepada penduduk setempat pada setiap hujung minggu dan bukan waktu pejabat dengan memperkenalkan Skim Perkasa Rakyat Mahir atau ‘Skills To Empower People’ (STEP).

Melalui aktiviti di bawah Program Belia Mahir 1Malaysia ini, KBS memberi peluang kepada masyarakat tempatan di Sabah menyertainya di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kinarut, Sabah.

Penolong Pengarah Bahagian Kemahiran, Muhammad Hamdan Abdullah Hazam berkata “ Program ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat terutamanya warga belia tempatan untuk mengikuti kursus kemahiran secara percuma mengikut kesesuaian di pusat latihan yang berhampiran, ”.

Antara lain objektif STEP ini diadakan adalah menyediakan peluang kepada terutamanya golongan belia untuk mengikuti kursus kemahiran secara modular di premis kelolaan KBS yang berhampiran dengan tempat tinggal kumpulan sasar.

Program ini selaras dengan pembangunan modal insan yang menjadi teras utama dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang mementingkan generasi pemimpin muda hari ini mempunyai sijil berteraskan kemahiran bagi meningkatkan pendapatan dan kualiti kerja mereka.

Muhammad Hamdan menjelaskan “ Bersesuaian dengan ucapan bajet 2011 yang disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia Oktober lalu, program ini disentuh dalam Strategi Kedua yang mana dikendalikan oleh pusat-pusat latihan kemahiran termasuklah IKBN sendiri serta kumpulan sasar program ini ialah belia, komuniti setempat, ibu tunggal, pekerja industri dan pesara, dan kelas yang diadakan adalah pada setiap hari Sabtu dan Ahad sahaja,”.

Di IKBN Kinarut, kursus yang ditawarkan Mekanik Penyejubekuan dan Penyaman Udara Domestik (PPUD) dan Juruteknik Elektrik Rendah serta pelatih bagi kedua-dua bidang tersebut layak mendapat Sijil Penyertaan KBS yang mana boleh dijadikan bukti bagi mereka yang memohon Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) melalui kaedah Pentauliahan Pencapaian Terdahulu (PPT).

Masyarakat setempat yang berminat bolehlah berhubung terus dengan pihak IKBN Kinarut untuk keterangan lanjut.

Muhammad Hamdan ditemui di pejabatnya di sini pagi tadi ketika perjumpaan bersama Ketua Sekolah Awam, Grenson AK Philip Angkok, Ketua Sekolah Elekterik, Mohd Riedzlan Sutrisno dan Ketua Sekolah Penyejukbekuan dan Penyaman Udara, Ahmad Rithaudin Ibrahim dan Ketua Sekolah Elektronik Yogeshwaran Saleapan.

IKBN KINARUT BUKAN SEKADAR MAHIR


KINARUT, 11 April – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kinarut hari ini telah mengadakan uji bakat kepada para pelajar yang berminat menjadi ahli Kelab Kesenian dan Kebudayaan MPP.

Kelab Kesenian dan Kebudayaan ini ditubuhkan di bawah Unit Pengurusan Pelajar dan di bawah seliaan Exco Kesenian dan Kebudayaan MPP IKBN Kinarut.

Seramai 20 orang pelajar telah menyertai uji bakat tersebut yang terbahagi kepada beberapa cabang seni iaitu nyanyian, tarian dan teater berdasar minat serta kebolehan mereka.

“Ramai pelajar yang berbakat dalam bidang lakonan dan boleh diketengahkan dalam mana-mana majlis pentas anjuran IKBN Kinarut nanti,” jelas Cathelyne Rotop, Pegawai Penyelaras Kelab Kesenian dan Kebudayaan MPP IKBN Kinarut.

Antara objektif uji bakat tersebut diadakan untuk memberikan peluang kepada warga pelajar menyertai kelab kesenian, bukan sahaja dapat mengasah bakat seni mereka malah ingin memperkenalkan IKBN Kinarut adalah institut yang mempunyai pelajar serba boleh dalam pelbagai bidang.

Hadir sama dalam uji bakat tersebut ialah Pengajar Jurusan Pelukis Pelan Senibina, Malini Sulaiman, Marciana Marie Michael dan Pembantu Belia dan Sukan, Puan Siti Bakhqriah Abd Mohd.

IKBN Kinarut meriahkan sambutan Maulidur Rasul


KINARUT, 8 April – “Sambutan yang diraikan oleh warga Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kinarut, Sabah adalah bertujuan untuk menghayati sunnah Rasulullah dan menjadikannya sebagai ikon terbaik di samping menambahkan ilmu dan meningkatkan kefahaman terhadap sirah Rasul dalam memperjuangkan Islam.”

Muhammad Hamdan Abdullah Hazam, Penolong Pengarah IKBN Kinarut mengatakan demikian semasa berucap merasmikan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat IKBN Kinarut, 1432H.

“Program ini juga dapat meningkatkan minat para pelajar untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti keagamaan,” katanya lagi.

Seramai 510 orang pelajar dan kakitangan IKBN Kinarut terdiri daripada lapan kontigen jurusan menyertai perarakan sambutan tersebut yang diadakan seawal pukul 7.30 pagi tadi dari perkarangan Surau Al-Hidayah menuju ke Dewan Limau-Limauan IKBN Kinarut.

Selain daripada pertandingan sepanduk, sambutan dimeriahkan lagi dengan persembahan Marhaban oleh Kumpulan Ghulaman Ghazi, persembahan nasyid oleh Kumpulan Tsautul Afnan dengan judul nasyid mereka Rindu Rasulullah dan persembahan bacaan sajak oleh pelajar dari jurusan Pelukis Pelan Senibina iaitu Dayangku Norhijrah Azirah Pg Hamzah dan Nurul Hidayah Asang di samping paluan kompang dari Kumpulan Ghulam Zakiah yang dipimpin oleh Siti Bakhqriah Abdul Mohd.

Pemenang bagi pertandingan sepanduk sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat IKBN Kinarut 1432H telah dijuarai oleh Jurusan Audio Visual, tempat kedua Jurusan Elektronik Industri dan tempat ketiga ialah Jurusan Jurubina Bangunan, masing-masing menerima piala dan sijil penyertaan.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ahmad Rithaudin Ibrahim, Ketua Sekolah Penyejukbekuan dan Penyaman Udara merangkap Ketua Unit Hubungan Industri, Mohd Riedzlan Sutrisno, Ketua Sekolah Elektrik, Sau’udi Suchang, Ketua Cawangan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Ustaz Haji Lamsin Anggali, penceramah jemputan dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

“Ging Bubut” bersama warga IKBN Kinarut


KINARUT, 4 April – Sabah FM melalui “Ging Bubut” telah memberi kejutan kepada warga IKBN Kinarut pagi tadi apabila datang dengan membawa banyak buah tangan untuk diberikan kepada kakitangan dan pelajar IKBN Kinarut yang menyaksikan slot lintas langsung mereka di sini.

“Sambutan warga IKBN sungguh menggalakkan dan meriah sekali,” kata krew “Ging Bubut” iaitu Sofea, Sarifa, Saat dan Syum dari Sabah FM.

Program ini dapat merapatkan lagi hubungan para belia dengan pihak media tempatan khususnya Sabah FM dan diharapkan ia dapat diteruskan lagi bukan sahaja untuk mempromosi siaran radio tempatan, malah juga mendekati warga belia yang menimba ilmu di pusat latihan kemahiran seperti IKBN Kinarut ini.

Acara lintas langsung ini telah diadakan di ruang legar lobi IKBN Kinarut, tepat pada pukul 11.50 pagi tadi.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Ketua-Ketua Sekolah, Ketua-Ketua Jurusan, Pengajar dan 400 orang pelajar selain pegawai dan kakitangan IKBN Kinarut.


MAJLIS BELIA LABUAN PENGGERAK TRANSFORMASI

Majlis Belia Labuan (MBL) yang kini diterajui oleh Mohd Dzulfaizal Ab Manan telah mula menampakkan sedikit taringnya apabila baru-baru ini menyuarakan kemahuan badan organisasi ini untuk bergabung di bawah Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai salah sebuah badan NGO yang diiktiraf kedudukannya sepertimana majlis belia negeri-negeri lain.

Mohd Dzulfaizal menyatakan hasrat tersebut semasa berucap dalam majlis Perasmian Konvoi Transformasi Belia yang diadakan sebagai promosi sempena sambutan Hari Belia Negara 2011.

Majlis tersebut telah diadakan pada 27 Mac 2011 di perkarangan Jabatan Belia dan Sukan WP Labuan (JBSWPL) dan telah dihadiri oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sendiri iaitu CEO Sekretariat Hari Belia Negara 2011, Mod Nadzri Yaakob, Timbalan Presiden MBM Haji Mohd Sukor Md Yusoff, Penolong Pengarah JBSWPL, Ronnie Boniface Nugi, Presiden MBL Mohd Dzulfaizal Ab Manan, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas WP Labuan, Rahimah Haji Lamat.

Pada masa kini, sejak tahun 2005 MBL telahpun menyertai gabungan di bawah Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) yang ketika itu Presiden MBL ialah Abdul Samat Ismail salah seorang aktivis belia yang sangat proaktif dan sentiasa menyuntik semangat kepimpinan dalam kalangan belia di sekitar Wilayah Persekutuan Labuan dengan misinya 1 Kampung 1 Persatuan waktu itu.

Warga belia di WP Labuan yang kini mencecah angka seramai 37,100 orang iaitu penduduk yang berusia 15 hingga 40 tahun perlu terus bersepakat dalam satu suara untuk merealisasikan kemahuan mereka sebagai generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan pulau ini yang pastinya semakin mencabar pada masa akan datang.

Bak kata pemimpin terkenal “jika ingin melihat negara pada masa akan datang, maka lihatlah golongan belianya pada hari ini."

Transformasi yang semakin hangat diperkatakan pada hari ini juga tidak dipandang remeh oleh golongan generasi muda di bawah kepimpinan MBL yang semakin peka terhadap pembangunan belia dan MBL juga turut mengatur strategi untuk melibatkan seluruh warga belia di pulau ini agar terus bersama-sama mengubah pemikiran kepada minda kelas pertama dalam semua segi termasuklah sosial, ekonomi dan politik bagi menyokong hasrat kerajaan untuk melihat negara ini diwarisi oleh golongan muda yang kepimpinannya berkualiti.

Dalam aspek sosial, MBL menggariskan agenda memperkasakan persatuan belia adalah merupakan perkara utama, seperti dari segi pendidikan, kerohanian, kebudayaan, sukan dan teknologi maklumat, memandangkan MBL sedar bahawa persatuan belia yang aktif dan berkesan mampu melahirkan lebih ramai pemimpin yang berkualiti di WP Labuan seterusnya mampu menjadi agen perubahan masyarakat.

Pertumbuhan ekonomi juga menjadi perangsang kepada MBL untuk menggalakkan para belia keseluruhannya berjinak-jinak menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan seterusnya dapat menyumbang ke arah pembangunan WP Labuan pada masa akan datang.

Keadaan politik yang begitu stabil juga sentiasa menyedarkan MBL untuk menyediakan aktiviti dan program bagi menanam semangat patriotisme dalam kalangan warga belia di sini, kerana semangat kenegaraan ini dapat mengukuhkan lagi jatidiri warga belia itu sendiri, di samping dapat memelihara suasana dan situasi kestabilan politik negara.

Selain itu, MBL juga memandang jauh ke hadapan bagi melihat aspirasi negara dalam aspek pembangunan modal insan yang berkemahiran dengan memberi sokongan penuh kepada warga belia WP Labuan agar menceburkan diri dalam bidang kemahiran yang ditawarkan oleh Bahagian Pembangunan Kemahiran KBS melalui Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) yang terdapat di seluruh Negara seperti IKBN Kinarut di Sabah.

Generasi belia WP Labuan yang berminat dalam bidang kemahiran ini disarankan merebut peluang tersebut agar dapat mempersiapkan diri dengan kebolehan dalam pelbagai bidang yang diperlukan oleh negara pada masa akan datang, apatah lagi WP Labuan sedang menuju Labuan Maju 2015 dan visi merealisasikan visi negara 2020.

Selaras dengan konsep 1 Belia 1 Malaysia, MBL turut merancang pelbagai program dan aktiviti dengan melibatkan semua persatuan belia di WP Labuan yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Junior Chamber International Labuan (JCIL) dan Persatuan Belia Kampung Sungai Keling.

Selain daripada 20 buah persatuan belia yang bergabung di bawah MBL, kedua-dua buah persatuan belia tadi turut tidak ketinggalan dalam setiap program dan ativiti yang dianjurkan oleh MBL agar dapat membantu merelealisasikan transformasi belia.

MBL kini dianggotai oleh 21 orang exco termasuk jawatankuasa tertinggi selain Presiden iaitu Timbalan Presiden, Basran Yunus, Naib Presiden I, Jumat Talip, Naib Presiden II, Jainudi Lamat, Setiausaha Kehormat, Puasa Jampal, Bendahari Mohd Izuandi Jaludin, manakala Penolong Setiausaha Kehormat MBL Zunainah Alias dan Setiausaha Kerja Rokiah Sarudin.

MBL umpama mata dan telinga bagi agensi kerajaan khususnya Jabatan Belia dan Sukan WP Labuan dan umumnya agensi lain, yang berperanan membawa transformasi belia ini bukan sahaja kepada minda kelas pertama malah juga bertanggungjawab menjadikan pulau ini diwarisi oleh generasi muda yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek dalam usaha ke arah pembangunan modal insan yang mempunyai keteguhan jatidiri agar dapat meningkatkan lagi martabat WP Labuan. MBL penggerak transformasi.

Konvoi Transformasi Belia Promosi Hari Belia Negara

LABUAN, 27 Mac – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Majlis Belia Malaysia (MBM), Jabatan Belia dan Sukan WP Labuan (JBSWPL) dan Majlis Belia Labuan (MBL) telah melancarkan program Konvoi Transformasi Belia sebagai promosi Himpunan Sejuta Belia bersempena Sambutan Hari Belia Negara tahun ini yang disambut pada 15 Mei 2011.

“Majlis pada hari ini besar ertinya dalam usaha kerajaan membangunkan belia sebagai pewaris kepimpinan negara pada hari ini dan untuk terus memastikan Malaysia cemerlang pada masa hadapan”.

Ahli Parlimen Labuan, YB Datuk Haji Yussof Haji Mahal mengatakan demikian semasa merasmikan program tersebut hari ini melalui wakilnya iaitu Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Datuk Haji Yunus Haji Kurus. “Kerajaan mengalu-alukan sumbangan yang diberi oleh golongan muda melalui persatuan-persatuan belia, sama ada secara langsung dan tidak langsung belia telah berjaya membantu kerajaan dalam pelbagai bidang pembangunan,” katanya lagi.

Hadir sama dalam program tersebut Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Belia KBS merangkap CEO Sekretariat Hari Belia Negara 2011, Mod Nadzri Yaakob, Timbalan Presiden MBM Haji Mohd Sukor Md Yusoff, Penolong Pengarah JBSWPL, Ronnie Boniface Nugi, Presiden MBL Mohd Dzulfaizal Ab Manan, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas WP Labuan, Rahimah Haji Lamat.

Pengisian aktiviti sempena program konvoi tersebut yang mendapat sambutan ialah Program Klinik “Mini Bike” Peringkat WP Labuan dan program tersebut mendapat sambutan dari kalangan generasi muda di sini.

Selain itu, Presiden MBL Mohd Dzulfaizal Ab Manan turut mengumumkan acara menarik yang mereka rancang untuk dicatatkan dalam “Malaysia Book Of Record” iaitu mencipta logo 1 Malaysia berukuran 50m panjang 25m lebar menggunakan wang kertas satu ringgit dan pasti acara tersebut akan menjadi satu sejarah dan kebanggaan warga belia WP Labuan.

Konvoi ini disertai oleh warga belia yang membawa 10 buah kereta dan 100 buah motorsikal dan bergerak melalui seluruh pulau Labuan sambil menghebahkan sambutan himpunan sejuta belia yang akan diadakan di Putrajaya pada bulan Mei nanti.

Dianggarkan seramai 400 orang warga belia WP Labuan yang terdiri daripada persatuan-persatuan belia, sukarelawan ahli Kelab Rakan Muda Parlimen Labuan, Skuad MBL dan pemimpin-pemimpin masyarakat hadir pada majlis perasmian yang berlangsung di perkarangan JBSWPL hari ini.

Saturday, March 5, 2011

Update...






Lamanya meninggalkan blog...
entahlah, akhir-akhirnya memang sibuk, mana dengan program Puteri, NGO & Kelas...
tapi sibuk2 pun terasa enjoy, sebab dapat bertemu kawan-kawan...
Sekali-sekala berjumpa, best juga...banyak betul cerita yang dapat dikongsi...

Beberapa gambar di atas tu program yang berlangsung selama 1, 2 minggu ni...
bila la lagi dapat berprogram ni, emmmmm mau siapkan paperwork la, lepas ni buat program lagi....
Jumpa lagi!

Sunday, February 20, 2011

BERHUJUNG MINGGU DI SANDAKAN

Sabtu & Ahad minggu ni berada di Sandakan... membantu otai belia (MR.H) yang menjemput untuk menyampaikan ceramah dalam Bengkel TOT Belia Sabah. Seronok juga menyampaikan ceramah untuk 3 modul baru. Terima kasih kepada MR.H yang telah memberikan satu lagi pengalaman baru dalam menyampaikan topik-topik menarik untuk warga Belia Sandakan.

Harap satu hari nanti, akan dapat kembali lagi bersama tajuk baru. Jemputan sebegini pasti tidak akan ditolak, kerana di dalam hati dan minda telah disemat untuk mengutamakan pembangunan belia.... kerana belia ni pewaris kepimpinan... kalau bukan belia, siapa lagi yang akan meneruskan perjuangan di tanahair kita ini?...

Salam 1 Belia 1 Malaysia...

Tuesday, February 15, 2011

ANTARA KERJAYA, MINAT, IMPIAN...


Kalau anda diberi pilihan antara kerjaya, minat dan impian... yang mana perlu didahulukan?.. yang mana perlu dikejar...? yang mana perlu dilupakan...?

Monday, February 14, 2011

ISTIMEWANYA MINGGU BARU... MAULIDURRASUL


Hari ni balik pagi dari Pulau, terus masuk ofis... Sudah jadi tugas, kenalah bertanggungjawab menggalas tugas yang diberikan. Masuk ofis, terus ke dewan, memastikan proses pengundian berjalan lancar. Sehingga proses pengiraan undi, semuanya lancar, cuma pengundian untuk jawatan Presiden diadakan semula pada Rabu (lusa). Biasalah tu, tidak ada yang sempurna dalam setiap yang dilakukan, cuma kena belajarlah dari pengalaman agar menjadi lebih baik.

Malam pula, ditegur oleh seseorang yang ingin meminta nasihat. Bagi saya, apa yang saya berikan bukanlah nasihat semata-mata, malah perkongsian pandangan yang bukan sahaja digunakan untuk dia, malah juga untuk mengingatkan diri sendiri. Terkejut juga bila orang ini meminta nasihat, tapi apa salahnya kan, bila kita dipercayai untuk memberikan sedikit idea. Kadang-kadang kita bukan sahaja perlu simpati, malah perasaan empathy itu lebih bermakna, barulah dapat menjadikan idea dan pandangan kita lebih berkesan, kerana kita memberikan nasihat apabila kita berasa bahawa kita berada dalam situasinya ketika itu.

Oh ya, hujung minggu ni ada tugasan penting menanti, di luar daerah tempat bertugas ni. Moga dapat berkongsi lagi maklumat demi pembangunan belia sejagat. Tunggu cerita hujung minggu ni ya! ;-)
Jumpa Lagi....

Wednesday, February 9, 2011

BENGKEL DATA PELAJAR IKBN/IKTBN


Seminggu ni berbengkel pula di KL, masa ni la berjumpa dengan kawan-kawan dari IKBN/IKTBN SeMalaysia. Masa ni la juga dapat rehat sekejap dari kerja rutin, sambil berbengkel pada 7 - 11 Februari 2011 sambil rehat juga.

Hari ni 9 Februari 2011, data IKBN Kinarut dah submit, tinggal tunggu rumusan data. Harap tidak ada masalah.

Oh ya.... harap petang / malam ni boleh jumpa kawan-kawan lama yang ada di sekitar KL ni,
Azlyn, Suhaimi, Zue & kawan-kawan lain... Sambil menyelam, minum air hohoho...
Jumpa lagi di lain waktu ya.. ;-)

Saturday, February 5, 2011

Demam Pilihanraya MPP


Salam perjuangan buat semua...

Kehangatan semakin terasa, IKBN Kinarut akan menghadapi Pilihanraya MPP pada 14 Februari nanti... Fuh!!!! Mesti calon-calon yang tersenarai sedang bersiap sedia untuk melancarkan kempen masing-masing.
Bagi pemilihan Exco kali ini, saya telah menetapkan dua tapisan, Tapisan I adalah berkenaan Rekod Disiplin calon, dan Tapisan II pula adalah Ujian Bertulis. Bukan apa, tujuannya adalah untuk meningkatkan kualiti kepimpinan dalam MPP. Tidaklah bermakna MPP sebelum ini tidak berkualiti, cuma ingin meningkatkan kualiti yang ada, tidak salah rasanya, untuk kebaikan IKBN Kinarut.
Kalau calon tahu asas Peraturan Tetap Pelajar IKBN, pasti mereka diyakini untuk menjadi wakil Pelajar IKBN Kinarut yang melebihi 500 orang dalam setiap semester. Moga pemilihan Exco MPP kali ini akan dapat melahirkan kepimpinan belia yang proaktif, berfikiran positif, berjiwa besar dan berkualiti. Segala kelemahan yang berlaku akan sentiasa diperbaiki dan kritikan yang membina akan saya jadikan sebagai azimat dalam memperbaiki setiap perkara yang dilakukan.
Salam Belia...